SHAH ALAM: Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ke-76 pada Sabtu lalu menjadi titik sejarah baru kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah dimasyhurkan sebagai Canselor yang keempat.
Istiadat pemasyhuran Tuanku Abdul Halim disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Seri Paduka Baginda seterusnya berkenan menyampaikan Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana kepada 1,030 graduan.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar. 
Agong Minta Warga UiTM Optimumkan Keupayaan Masing-Masing
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah meminta setiap warga Universiti Teknologi Mara (UiTM)memanfaatkan sumber, kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai bidang supaya dapat mengoptimumkan keupayaan masing-masing.
Seri Paduka bertitah melalui cara itu, ia dapat membantu universiti mempercepatkan proses transformasi negara ke arah menjadikan masyarakatnya maju dari segi pemikiran, tindakan, pencapaian dan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni.
"Justeru, Beta berharap para graduan sebagai golongan intelek dapat memainkan peranan secara positif agar negara Malaysia kekal berdaulat di bawah pemerintahan kita sendiri.
"Para graduan adalah pemimpin masa depan yang diharap untuk memastikan negara terus aman. Pertahankanlah negara, universiti ini agar sentiasa meneruskan kehebatan untuk mencipta peradaban lebih gemilang," titah Tuanku Abdul Halim pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-76 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) di sini, Sabtu.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Pada majlis itu, Tuanku Abdul Halim turut dimasyurkan sebagai Canselor keempat UiTM, selepas ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 16 Jan menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang telah menjadi Canselor universiti itu selama lima tahun.
Tuanku Abdul Halim turut bertitah agar semua graduan menjadi insan yang sentiasa mengenang jasa.
"Sentiasa mengenang jasa ibu bapa, jasa universiti dan jasa pemimpin-pemimpin negara, sifat mengenang jasa itu adalah sifat yang mulia disisi Allah. "Beta amat bersukacita dengan UiTM yang sentiasa mengenang jasa insan-insan serta pemimpin-peminpin negara di pelbagai peringkat," titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong turut melahirkan rasa bangga kerana UiTM hari ini menamakan semula Fakulti Kajian Pengurusan dan Perniagaan universiti itu sempena nama Tan Sri Arshad Ayub iaitu Arshad Ayub Graduate Business School.
Arshad Ayub merupakan Pro Canselor UiTM. "Kajian Pengurusan dan Perniagaan yang beliau perkenalkan pada tahun 1960-an dahulu, kini telah menjadi fakulti terbesar di Malaysia dengan 60,000 pelajar. "Jasa beliau juga telah melampaui sempadan antarabangsa, maka bertepatanlah jasa-jasa beliau dikenang dan dihormati dengan menamakan pusat pengajian pasca siswazah ini bersempena nama beliau," titah Seri Paduka.
Istiadat konvokesyen kali ini berlangsung dalam 13 sidang di kampus Induk Shah Alam, tiga sidang masing-masing di kampus cawangan Perlis dan Terengganu dan dua sidang masing-masing di Perak dan Sarawak membabitkan 16,326 graduan.
Istiadat itu bermula hari ini hingga 20 Mei. -BERNAMA

Post a Comment

Terbaru Lebih lama